Real Madrid 1 - 0 Sevilla FC
MADRID: Jaringan pemain sayap antarabangsa Argentina, Angel Di Maria pada minit ke-77 membantu Real Madrid mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Sevilla di Santiago Bernabeu dan kembali merapatkan jurang dua mata dengan pendahulu Liga Barcelona sebelum cuti perayaan Krismas.
Di Maria, 22, yang dibeli dari Benfica dengan harga 25 juta euro (RM103.5 juta) berjaya memperdaya penjaga gol lawan, Andres Palop untuk mengekalkan rekod tanpa kalah Real di tempat sendiri sekali gus memastikan barisan bimbingan Jose Mourinho menghampiri Barcelona menjelang tahun baru 2011.
Real terpaksa beraksi 10 orang pemain apabila benteng tengah Portugal, Ricardo Carvalho diarah keluar padang minit ke-63 tapi tuan rumah berjaya bangkit memberi tentangan untuk menang menerusi jaringan Maria.
“Satu jaringan cantik dan yang penting kami menang,” kata Maria. “Ia perlawanan yang sukar dan semakin sukar apabila terpaksa bermain 10 orang. “Kami melakukan apa saja dan akhirnya berjaya mencipta kemenangan.” Sevilla gagal menggunakan kelebihan dan jatuh ke kedudukan ke-11 selepas kalah kali kelima berturut-turut. Ia kini ketinggalan lapan mata di belakang empat pasukan teratas liga.
Kedudukan Barcelona makin selesa selepas menewaskan Esponyol 5-1 di stadium Cornella-El Prat, kemenangan ke-10 berturut-turut dan membolehkan juara berganda itu menguasai kedudukan liga menjelang Krismas.
Real terpaksa turun tanpa Marcelo dan Xabi Alonso tapi kehadiran semula Sergio Ramos memberikan semangat terutama ketika dia berdepan bekas pasukan yang mula menggilap kariernya.
Kekosongan ditinggalkan Gonzalo Higuain yang cedera memberi ruang buat penyerang Perancis, Karim Benzema mencipta impak pada hari jadinya yang ke-23 manakala penyerang Sevilla, Alvaro Negredo berpeluang membuktikan kemampuan kepada bekas kelabnya, Real.
Madrid memulakan saingan dengan memperoleh beberapa sepakan sudut tapi Sevilla terlebih dulu berpeluang mencipta jaringan menerusi tandukan pemain pertahanan, Julien Escude pada minit ke-25.
Tiga minit kemudian, percubaan Di Maria berjaya di tumbuk keluar Palop.
Penjaga gol Real, Iker Casillas kemudian melakukan kesilapan apabila gagal menangkap kemas sepakan percuma Sevilla tapi pemain pertahanan, Pepe pantas menyelamatkan asakan lawan di saat akhir. Di babak kedua, tuan rumah gagal memperbaiki persembahan selepas rehat dan Negredo seharusnya mampu menjaringkan gol lawan pada minit ke-57 hasil hantaran Luis Fabiano namun sepakannya melepasi palang gol.
Real kemudiannya terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Carvalho dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari Negredo.
Kesalahan dilakukan Palop yang gagal mengawal gawangnya membolehkan di Maria menyumbat gol kemenangan Real minit ke-77.
Pemain pertahanan Sevilla, Mouhamadou Dabo turut diperintah keluar padang apabila mengasari di Maria. - AFP
No comments:
Post a Comment