About

Salam kepada semua . Hidup ini bagaikan lampu dinding, yang terang dimalam hari, bila minyak sudah kering, pasti ia akan padam sendiri.

01 December 2010

TEMERLOH: SYARAT-SYARAT YANG MEMUNGKINKAN BAGI PENUBUHAN REJIMEN KE-10

Apakah sebab-sebab yang memungkinkan Temerloh menjadi kawasan basis yang pertama dan sekaligus merupakan buaian bagi lahirnya dan berkembangnya Rejimen Ke-10 TPNM?

Ditinjau dari sudut keperluan perang gerila, Temerloh mempunyai syarat-syarat yang sangat baik sama ada dari segi geografi, penduduk dan lebih-lebih lagi dari segi sejarah yang memungkinkannya menjadi basis pasukan gerila Rejimen Ke-10 TPNM.

adegan Opera Putera Puteri Sungai Pahang: Mengisahkan penderitaan rakyat Temerloh dan pergolak politik sehingga membawa penubuhan Rejimen Ke-10.

Daerah Temerloh adalah daerah yang paling luas di Negeri Pahang, keluasannya sama dengan Negeri Perlis. Ia terbahagi kepada 15 buah mukim dengan tiap-tiap mukim ditadbir oleh seorang penghulu.


Temerloh mempunyai kedudukan yang strategic sebagai pusat penghubung antara Pantai Timur dan Pantai Barat. Terletak di tebing Sungai Pahang (di kuala Sungai Semantan), ia mempunyai hutan rimba yang luas manakala di kaki bukit bukau dan hutan rimba itu terletak berlapis-lapis kampung-kampung kaum tani.

Di daerah Temerloh orang Melayu lebih ramai dari kaum lain. Ketika berlangsungnya Perang Pembebasan Nasional Anti-British, orang Melayu di Temerloh berjumlah kira-kira 55,000 orang. Jumlah terbanyak mereka terdiri dari kaum tani miskin dan tani sedang lapisan bawah. Pada umumnya, mereka bermastautin dikampung-kampung di tepi Sungai Pahang, Sungai Semantan, Sungai Bera, dan sungai-sungai kecil lainnya. Mereka bertani dengan menanam padi, sayur-sayuran, getah, pokok buah-buahan dan lain-lain.

Daerah temerloh yang dulunya dikenali dengan nama Kuala Semantan mempunyai sejarah perjuangan revolusioner yang gilang gemilang. Pada tahun-tahun akhir 1880-an dan awal 1890-an, ia merupakan pusat gerakan tani melawan penjajah British. Walaupun perang tani yang dipimpin Datok Bahaman telah gagal kerana dibatasi oleh syarat-syarat sejarah dan pengkhianatan bangsawan-bangsawan feudal, namun semangat patriotism anti-British yang dibangkitkan melalui perang tersebut tak pernah padam. Pengikut-pengikut Bahaman ramai bertaburan di serata Temerloh. Di samping itu ramai anak cucu Bahaman telah mewarisi dan meneruskan cita-cita luhur pahlawan nasional yang ulung itu. 

Di bawah penindasan dan pemerasan yang biadab oleh kaum penjajah British serta kaum “penghisap darah” tempatan, kehidupan kaum tani yang luas di daerah Temerloh terjerumus ke dalam lautan kesengsaraan yang tak bertepi. Perasaan tak puas hati semakin menggejolak, akan tetapi tradisi perjuangan yang diwariskan oleh Datuk Bahaman telah ditekan dengan hebatnya oleh kaum penjajah British. Namun demikian, tradisi dan sejarah perang tani itu tak putus-putus diceritakan oleh angkatan tua kepada generasi baru; di sesetengah tempat, majlis-majlis khas diadakan secara rahsia untuk membaca buku-buku sejarah bertulisan tangan tentang perjuangan tersebut. Dengan demikian percikan api yang dinyalakan oleh Datuk Bahaman itu tetap bersemarak di hati sanubari massa rakyat generasi demi generasi.

Syarat-syarat inilah yang memungkinkan Temerloh menjadi tanah tumpah darah Rejimen Ke-10 TPNM atau disebut juga sebagai buaian revolusi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...