Real Madrid 4 - 1 Real Sociedad
- Kaká 8’
- Cristiano Ronaldo 21’, 42’
- Adebayor 89’
- Arbeloa 72’ (o.g.)
Selepas dikritik hebat kerana gagal menyumbat gol dalam empat perlawanan terakhir, Ronaldo memberi tindak balas hebat apabila bukan saja meledak dua gol, malah banyak kali mengancam kubu lawan di Stadium Santiago Bernabeu.
Ia juga adalah reaksi yang baik daripada bekas Pemain Terbaik Dunia itu selepas pencabar utamanya dalam senarai penjaring terbanyak, Lionel Messi melakar hatrik buat Barca ketika membantu pasukan itu membenam Atletico Madrid 3-0 kelmarin. Kedua-dua pemain kini terikat dengan 24 jaringan.
“Saya sudah katakan, sekalipun jika musim Ronaldo berakhir sekarang, dia tetap mengharungi saingan yang amat menakjubkan. Dia sentiasa bekerja keras dan memberikan segala-galanya buat pasukan.
“Ia menyukarkan kebanyakan pemain untuk mengasaknya kerana khuatir gagal dalam perebutan bola. Dia (Ronaldo) amat kuat dari segi fizikal dan mampu menangani asakan, sekali gus merampas bola itu,’’ kata pengurus Real, Jose Mourinho selepas melihat pasukannya merapatkan jurang mata kepada tujuh di belakang Barcelona.
Real, yang menurunkan Emmanuel Adebayor dalam kesebelasan utama selepas pemain itu menjaringkan gol ketika menentang Sevilla pada saingan Copa del Rey minggu lalu, memberikan tekanan hebat kepada pasukan pelawat dari awal hingga hujung perlawanan.
Sociedad agak gemuruh ketika mengawal bola, manakala pertahanan mereka juga gagal mengeluarkan bola dengan kemas. Gorka Elustondo tidak berjaya mengekang Kaka sebelum membenarkan pemain Brazil itu merobek gawang mereka menerusi rembatan kaki kiri seawal minit ketujuh.
Pertahanan Sociedad juga sering goyah apabila diancam Ronaldo dengan hantaran belakangnya, selain sepakan bola yang mengelirukan.
Bintang Portugal itu berjaya melebarkan kedudukan 2-0 pada minit ke-21 hasil rembatan dari luar kotak penalti, sebelum meletakkan Real mendahului 3-0, tiga minit sebelum tamat babak pertama dengan menanduk sepakan sudut Mesut Ozil.
Adebayor yang dipinjam daripada Manchester City meledakkan gol liga pertamanya sejak menyertai Real ketika saingan tinggal seminit untuk ditamatkan bagi menjadikan kedudukan 4-1 selepas Raul Tamudo terdahulu memperoleh gol sagu hati Sociedad di minit ke-72.
“Perkara paling penting, kami tidak mengalah dalam pemburuan kejuaraan. Saya hanya pernah menamatkan saingan di tangga kedua sekali sepanjang tiga musim bersama Chelsea tetapi jika kami mengakhiri musim di tempat kedua, ia bukan satu masalah,’’ kata Mourinho.
Jurulatih Sociedad, Martin Lasarte mengakui, pasukannya patut kalah selepas mempamer aksi mengecewakan.
“Ia adalah keputusan tepat. Kami ada beberapa peluang tetapi mereka (Real) memperoleh lebih banyak peluang dan kami tidak bermain baik seperti yang sepatutnya,’’ ujar Lasarte.
Dalam satu lagi perlawanan, Valencia menewaskan Hercules 2-0 untuk menghambat pasukan tangga ketiga, Villarreal. Valencia yang memenangi enam daripada tujuh perlawanan terakhirnya mengutip 44 mata, satu mata di belakang Villarreal yang kalah mengejut 0-1 kepada kelab bawahan, Levante. – AFP
No comments:
Post a Comment