Arsenal 2 - 1 FC Barcelona
- van Persie 78’
- Arshavin 83’
- Villa 26’
Jaringan Robin van Persie dan Andrey Arshavin pada 12 minit terakhir memberi kemenangan bermakna buat Arsenal selepas membenarkan Barcelona mendominasi sebahagian besar babak pertama, malah mendahului menerusi David Villa.
Kemenangan tipis juara Liga Perdana England itu membuka peluang buat mereka untuk mencari tiket suku akhir, dengan syarat mereka mampu mengekalkan kelebihan apabila kedua-dua pasukan berentap sekali lagi pada peringkat kedua di Camp Nou.
Meskipun menganggap Barcelona adalah pilihan utama untuk memenangi perlawanan, namun Wenger percaya skuad mudanya tetap berkunjung ke Sepanyol, 8 Mac ini dengan keyakinan tinggi untuk meneruskan kemaraan.
"Kami bukan pasukan pilihan ketika ini, namun apa yang paling penting, kami mempunyai keyakinan tinggi dan percaya bahawa kami punya peluang tetapi Barcelona tetap pilihan.
"Malam ini, kami berjaya mengalahkan mereka sedangkan kami tidak pernah mempunyai kepercayaan itu, tahun lalu,'' akui Wenger, merujuk kepada kekalahan mereka kepada Barcelona musim lalu. Barca membenam Arsenal 4-1 pada suku akhir kedua dan mara dengan agregat 6-3.
Menurut Wenger lagi, keputusan semalam menaikkan keyakinan anak-anak buahnya apabila berkunjung ke Barcelona nanti, biarpun sedar cabaran getir bakal menanti mereka di gelanggang lawan.
"Kemenangan ini benar-benar menaikkan keyakinan pemain. Mereka telah menunjukkan kekuatan dan keutuhan sebagai sebuah pasukan, keputusan ini adalah hasil daripada kerjasama yang hebat,'' ujar jurulatih itu lagi.
Kemenangan semalam turut menafikan ramalan pemerhati bahawa Wenger mungkin tidak akan menggunakan permainan menyerang apabila menentang gergasi Eropah itu, dan separuh masa pertama seolah-olah mengiyakan segala jangkaan tersebut.
Sedar menyerang adalah satu-satunya cara untuk menumbangkan Barca, Wenger bertegas sepanjang perlawanan bahawa pasukannya harus membalas serangan dengan serangan, bukan dengan bertahan.
Malah, semalam mereka membuktikan kesungguhan untuk menyerang dengan sentiasa bergerak, biarpun sesekali skuad Gunners kelihatan seperti memegang bola terlalu lama dan kadang kala mengatur serangan balas.
Ketika wisel penamat ditiupkan, tuan rumah memiliki dua penyerang di atas padang - Nicklas Bendtner dan Van Persie, sambil bahagian tengah pula diterajui empat pemain kreatif yang sering membantu jentera serangan - Samir Nasri, Cesc Fabregas, Jack Wilshere dan Arshavin.
"Saya bangga dengan permainan Arsenal malam ini kerana semua pemain memainkan peranan berbeza tetapi efisien. Ia datang secara semula jadi dan kekuatan itu telah membuktikan bahawa kami percaya kepada permainan sendiri, itu paling penting,'' kata Wenger lagi. - AFP
1 comment:
arsenal power..
Post a Comment