FC København 0 - 2 Chelsea
Selepas tersingkir pada saingan Piala FA apabila tewas kepada Everton minggu lalu, Nicolas Anelka melegakan Ancelotti apabila meledakkan dua gol sekali gus membolehkan Chelsea semakin hampir untuk menempah tiket ke suku akhir Liga Juara-Juara.
Kekalahan kepada Copenhagen pada perlawanan pertama pusingan kedua di Stadium Parken pastinya memberi lebih tekanan kepada Ancelotti tetapi sentuhan penyudah Anelka menyelamatkan seketika nasib pengendali dari Itali itu.
Ancelotti memilih untuk meletakkan Didier Drogba di bangku simpanan ketika Chelsea menggunakan formasi 4-4-2 dengan Anelka dan Fernando Torres bertindak sebagai gandingan barisan depan.
Anelka menampilkan aksi menarik apabila meledakkan dua gol untuk menambah jaringan peribadi kepada tujuh gol dalam enam perlawanan manakala Torres terus mempamerkan aksi mengecewakan selepas mengambil keputusan mengejutkan berpindah dari Liverpool.
Drogba tidak berada pada prestasi terbaik sejak kebelakangan ini tetapi masih menjadi pilihan utama untuk diturunkan dan Ancelotti menegaskan, ketiga-tiga penyerangnya itu tidak pernah merungut apabila mereka sering ditukar kerana ia bagi memastikan mereka sentiasa cergas untuk bersaing pada Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara.
Ditanya adakah ketiga-tiga penyerangnya itu antara yang terbaik di Eropah, Ancelotti berkata: “Ya, mungkin. Kami mahu mengekalkan tahap kecergasan mereka tetapi pertukaran adalah untuk kebaikan pada saingan liga dan Liga-Juara-Juara.
“Mereka menerima keputusan saya tanpa sebarang bantahan. Ini yang penting iaitu mereka sentiasa bersedia apabila diperlukan.
“Kami mempunyai barisan penyerang yang hebat. Saya perlu membuat keputusan tepat sama ada mahu menurunkan mereka atau tidak pada setiap perlawanan. “Drogba bermain dua jam ketika menentang Everton manakala Torres dan Anelka kekal cergas. Ketiga-tiga mereka sudah mempamerkan aksi terbaik.” Meskipun Torres gagal menyempurnakan tiga peluang terbaik di depan pintu gol, Ancelotti menegaskan, kelicikan serta komitmen dipamer penyerang sensasi Sepanyol itu ketika bertemu Copenhagen lebih penting berbanding sentuhan penyudahnya.
“Permainannya sangat bagus. Mungkin sedikit mengecewakan apabila dia tidak menjaringkan gol tetapi itu tidak penting. Gandingannya bersama Anelka sangat baik,” katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment