Levante UD 2 - 0 Real Madrid
- Xisco 62’ (pen.)
- Sergio 86
MADRID - Walaupun kalah 0-2 kepada Levante, Real Madrid mara ke suku akhir Piala Raja Sepanyol (Copa Del Rey) buat pertama kali dalam tempoh lima tahun, menerusi agregat 8-2.
Jurulatih Real, Jose Mourinho merehatkan ramai pemain utama, termasuk Cristiano Ronaldo yang mengalami masalah kesihatan.
Bintang Brazil, Kaka dimasukkan pada minit ke-57, iaitu penampilan keduanya sejak pulih daripada kecederaan.
Xisco Munoz menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-62 selepas bola terkena tangan Fernando Gago, dan Sergio Gonzalez memberikan gol kedua buat Levante menerusi sepakan percuma pada minit terakhir perlawanan.
''Inilah adalah perlawanan yang kami tidak sepatutnya tewas. Kami tidak mahu kalah sebenarnya tetapi kami harus terima keputusan ini,'' kata Mourinho.
Ini adalah kekalahan kedua Mourinho sejak membimbing gergasi Sepanyol itu musim ini.
Sementara itu, pasukan Divisyen Dua, Real Betis mengejutkan Getafe 3-1 untuk melangkah ke suku akhir dengan agregat 4-3, sekali gus menempah pertemuan dengan gergasi dunia, Barcelona.
Penjaga gol Getafe, Oscar Ustari yang cemerlang dalam perlawanan tersebut menyelamatkan tujuh percubaan lawan pada 40 minit pertama, sebelum Jorge Molina menewaskan penjaga gol dari Argentina itu pada minit ke-56 di Coliseum Alfonso Perez.
Ruben Castro menambah dua gol pada minit 72 dan 90 untuk memastikan kemenangan Betis walaupun Javier Casquero berjaya merapatkan jurang buat Getafe pada masa kecederaan.
''Mereka mendominasi permainan sejak minit pertama lagi.
''Sukar untuk saya terima cara permainan pasukan ini walaupun kami adalah pasukan dari liga utama,'' kata jurulatih Getafe, Michel.
Betis muncul satu-satunya pasukan bukan dari liga utama yang masih bersaing dalam kejohanan ini, namun mereka terpaksa mengharungi cabaran di suku akhir tanpa kelibat kapten, Achille Emana ekoran kecederaan lutut pada minit ke-52.
Dalam satu lagi perlawanan, Villareal bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengatasi Valencia 4-2.
Valencia banyak menguasai perlawanan di separuh masa pertama dan Ever Banega meletakkan pelawat di hadapan lima minit permainan bermula apabila Juan Carlos Sanchez gagal mengagak dengan tepat percubaan jarak jauh pemain Argentina itu.
Roberto Soldado bijak menguis tepat mengatasi Sanchez hantaran jarak jauh Maduro Hedwiges pada minit ke-23 bagi meletakkan Valencia selesa mendahului 2-0.
Namun, Villarreal yang sedar perlu mencari tiga gol untuk layak akhirnya menunjukkan belang sebenar pada separuh masa kedua menerusi gol Santi Cazorla yang menyempurnakan hantaran Giuseppe Rossi.
Villarreal menyamakan kedudukan hanya dua minit selepas itu apabila Rossi menyempurnakan sepakan penalti selepas Marius Stankevicius menjatuhkan Marco Gaston Ruben di dalam kotak penalti.
Gol yang dicari oleh Villarreal menjelma pada minit ke-63 hasil gerakan menarik Cani dan Rossi memberikan ruang buat Ruben yang berseorangan di kotak penalti menjaringkan gol pendahuluan buat tuan rumah.
Rossi menjaringkan gol kedua peribadi pada minit terakhir permainan bagi mengesahkan kebangkitan bergaya Villarreal.
Almeria pula menjaringkan empat gol pada separuh masa pertama untuk menang 4-3 dan mara ke suku kahir menerusi agregat 8-6 ke atas Mallorca secara agregat. - AP
No comments:
Post a Comment