Chelsea 7 - 0 Ipswich Town
Chelsea, yang mencatat kejayaan berganda musim lalu, sekadar di tangga kelima liga, sembilan mata di belakang pendahulu, Manchester United dan bermain lebih satu perlawanan.
Kedudukan itu membuatkan ramai membuat spekulasi mengenai masa depan Ancelotti di Stamford Bridge.
Namun, kemenangan besar dalam Piala FA, mampu mengurangkan sedikit tekanan yang dialami pengurus dari Itali itu.
Ancelotti sedar segalanya mungkin boleh berubah, jika mereka gagal mencatatkan kemenangan ke atas Blackburn, minggu depan.
''Kami harus mempunyai prestasi seperti ini dalam setiap perlawanan. Keputusan sebegini cukup baik dan kami melakukan banyak perkara yang betul di dalam perlawanan.
''Namun, kami tidak boleh terlalu seronok. Kami perlu mengulangi sekali lagi persembahan sebegini pada minggu hadapan ketika bertemu Blackburn.
"Berdasarkan sejarah, dengan kejayaan ini, keyakinan kami akan meningkat dan boleh bersedia untuk perlawanan seterusnya.
''Kami perlu menunggu masa yang sesuai untuk mengatakan semuanya okey. Kami wajib mempamerkan permainan menarik sekali lagi pada hari ini,'' katanya.
Ancelotti mencabar Daniel Sturridge untuk memberikan saingan kepada penyerang utama, Didier Drogba selepas dua kali meledak ketika bertemu Ipswich.
Sturridge dimasukkan dalam kesebelasan utama apabila Drogba mengalami sedikit kecederaan dua hari sebelum Chelsea memulakan kempen mempertahankan Piala FA buat tahun ketiga berturut-turut.
''Semua pemain harus bersedia untuk bermain apabila saat itu tiba. Kepada Daniel, dia menjaringkan banyak gol ketika disenaraikan di dalam pasukan simpanan. Dia layak untuk bermain. Dia merupakan seorang penyerang yang berpotensi besar.
''Dia mempunyai masa depan yang cerah dan akan diberikan banyak peluang,'' kata Ancelotti terhadap penyerang Bawah 21 England itu. - AFP
No comments:
Post a Comment