Ipswich Town 1 - 0 Arsenal
Priskin 78’
IPSWICH - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger masih yakin skuad bimbingannya akan mara ke perlawanan akhir Piala Liga walaupun tewas 0-1 dalam aksi separuh akhir pertama kepada pasukan Divisyen Dua, Ipswich Town.
Pengurus berbangsa Perancis itu yakin Gunners akan bermain lebih baik di Stadium Emirates pada 25 Januari ini sekiranya mereka mahu bertemu West Ham atau Birmingham di Wembley.
Gol daripada Tamas Priskin, penyerang Hungary itu pada minit ke-78 sudah cukup memberikan kejayaan kepada Ipswich yang baru sahaja memecat pengurus Roy Keane selepas gagal beraksi baik dalam liga.
Sabtu lalu, mereka dibelasah 7-0 oleh penyandang juara Piala FA, Chelsea.
''Saya percaya kami mampu mengubah situasi ini, namun kami mendapat amaran yang cukup baik pada hari ini.
''Kami akan beraksi lebih baik selepas ini. Dengan jadual yang begitu padat, anda boleh lihat kami seperti kehilangan rentak.
''Ipswich lebih tajam dan kami melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya yang memberikan kesempatan kepada lawan. Perkara yang baik adalah kami bermain di tempat sendiri pada perlawanan kedua dan itu akan memberikan kelainan.
''Kami tidak pernah kekurangan daripada segi kreativiti seperti mana yang terjadi pada malam ini,'' kata Wenger.
Priskin dilihat sudah memberikan amaran pada separuh masa pertama dengan melakukan jaringan sepakan akrobatik, namun dibatalkan kerana ofsaid, akhirnya berjaya merakamkan gol pertama semenjak Disember lalu menerusi hantaran Colin Helay.
Wenger yang terdesak mahu menamatkan penantian enam tahun meraih sebarang trofi, dijangka akan mendapatkan seorang pemain pertahanan baru sebelum pintu perpindahan ditutup.
Namun, dia enggan menyalahkan barisan pertahanan Arsenal di atas kekalahan tersebut walaupun tanpa pemain utama ekoran kecederaan dan pengantungan.
''Sebagai pasukan, kami tidak bermain dengan cara sepatutnya. Di setiap bahagian, kami beraksi di bawah tahap sebenar. Saya tidak boleh menyalahkan kepada barisan pertahanan sepenuhnya.
''Kami mengawal perlawanan cukup baik pada separuh masa pertama. Pada separuh masa kedua, semua pemain gagal bertahan dengan baik,'' katanya.
Paul Jewell, pengganti Keane di Ipswich, menonton perlawanan berkenaan di kerusi penonton.
McParland berkata, dia menjangkakan kontraknya akan ditamatkan dengan Jewell akan membawa pegawai kejurulatihan sendiri.
''Saya begitu gembira dengan semua pemain ini. Mereka menunjukkan karakter untuk bangkit selepas kalah teruk di tangan Chelsea dan saya cukup berbangga.
''Saya telah melakukan kerja sebaik mungkin dan sasaran saya adalah untuk mengekalkan kerja keras,'' kata pengurus bangsa Scotland itu. - AFP
No comments:
Post a Comment